Wednesday, February 25, 2009

PEUEHABA ACHEH 3

Bahagian Hal Ehwal Pelajar Multimedia University (MMU) sekali lagi akan menganjurkan program kebajikan di Acheh pada 23 Mac sehingga 28 Mac 2009. Program ini merupakan rantaian program kebajikan di bumi Aceh dan bakal memasuki penganjuran buat kali ketiga.

Program kebajikan ini diadakan khas untuk anak-anak yatim di Acheh khususnya mangsa tragedi Tsunami di Acheh pada tahun 2004. Nama program ini dikekalkan sebagai ‘Peuehaba Acheh 3’ atau ‘Apa Khabar Aceh 3’ dan tema “IT Ke Hati” turut diteruskan bersesuaian dengan misi pengajaran ilmu IT yang akan disampaikan di sana.

Menurut pengarah program ini, Nurul Aizam bin Zaini, Peuehaba Aceh 3 bakal membawa kelainan berbanding dua penganjuran sebelumnya kerana pendekatan modul IT akan ditingkatkan daripada modul yang lepas. Tambahan pula, modul motivasi belajar akan diperkenalkan untuk membantu anak-anak yatim Aceh dalam meningkatkan prestasi pembelajaran mereka. Menurut beliau lagi, program kali ini mendapat sokongan penuh daripada Pos Keadilan Peduli Umat (PKPU) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif membantu pembangunan masyarakat di Aceh. Justeru, tiga rumah anak yatim PKPU telah dipilih sebagai sasaran program kali ini.

Selain itu, program ini turut mengadakan kutipan sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan terus kepada rumah-rumah anak yatim di sekitar Banda Aceh. Rumah-rumah tersebut adalah Pondok Yatim Putri (Perempuan) Istanbul Dormitory, Pondok Yatim Putra, dan Pondok Yatim Putra Blue House. Para mahasiswa yang terlibat akan didedahkan dengan kehidupan anak-anak yatim di sana. Mereka turut dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mendekati anak-anak yatim tersebut dan membantu untuk membina keyakinan mereka dalam kehidupan.

Bagi menjayakan program kebajikan ini, pihak penganjur ingin memohon sumbangan daripada pihak sektor awam, swasta serta orang ramai yang prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa Tsunami Acheh dalam program ‘Peuehaba Acheh 3’ ini. Bentuk sumbangan adalah seperti komputer, wang ringgit, perisian komputer, alat tulis dan sebagainya.

Untuk menhulurkan sebarang sumbangan dan juga pertanyaan, sila hubungi Fatin Amanina binti Yazid di talian 0176570962 atau saudara Zul Fazlizan Saidin di talian 0196289394.

No comments: